Tuesday, December 18, 2012

Tanda-tanda kehamilan dan kaedah menentukannya

Adakah anda hamil? jika anda sedang hamil, beberapa perkara dan tanda-tanda kehamilan akan berlaku kepada anda pada peringkat awal kehamilan. Apabila anda ragu-ragu tentang perkara ini, cubalah perhatikan perubahan-perubahan yang berlaku pada diri anda. Antara perubahan tersebut adalah:

1. Tidak datang haid atau menstruasi
Jika anda sedang hamil, anda tidak akan datang haid lagi. Ini kerana dinding rahim anda sedang dipersiap untuk proses kehamilan. Amat penting untuk anda mengetahui hari pertama haid anda yang terakhir. Ia untuk menentukan usia kandungan anda dan perkiraan tarikh bersalin. Perlu  diingatkan di sini bahawa tidak datang haid mungkin disebabkan perkara lain juga. Oleh itu, jumpalah doktor anda untuk pengesahan.

2. Mual dan Muntah
Berasa mual dan muntah atau alahan kepada bau makanan sering terjadi kepada anda sebagai tanda-tanda awal kehamilan. Ini kerana berlaku perubahan hormon di dalam badan. Ia juga turut dikenali sebagai "morning sickness" kerana mual dan muntah sering terjadi pada waktu pagi pada bulan-bulan kehamilan.

3. Sering membuang air kecil
Ia terjadi kerana pundi kencing anda ditekan oleh rahim yang semakin membesar. Perkara ini pada kebiasaannya akan berterusan selama tempoh kehamilan anda. Tetapi, selepas minggu ke-12, ia akan menjadi sedikit berkurang dan timbul kembali pada minggu ke-28 kehamilan.

4. Mengidam
Mengidam merupakan perkara biasa yang berlaku kepada ibu yang sedang mengandung. Ia disebabkan oleh perubahan hormon yang berlaku dalam tubuh ibu dan menyebabkan anda menginginkan makan makanan tertentu sahaja. Gejala ini sering berlaku bulan pertama sahaja.

Tanda-tanda lain yang menunjukkan anda sedang hamil seperti :
  • Perubahan saiz payudara secara drastik
  • Puting membesar, bewarna lebih gelap dan kadangkala terasa gatal dan sakit
Setiap wanita mempunyai gejala dan tada-tanda kehamilan yang berbeza-beza dan berlainan antara satu sama lain. Ada yang membebankan dan ada pula yang langsung tidak memenatkan dan tidak mempunyai keluhan. Jika gejala-gejala tersebut masih belum terdapat pada anda, maka anda dapat memastikannya dengan ujian lain.