Saturday, June 23, 2012

Surat Cinta Buat Suami...


Buat suami ku yang disayangi,
Surat ini ku tulis dengan hati yang terus menerus berdoa agar kau dan aku berjaya mengatasi apa jua halangan dalam perjalanan kita mendapat keredaan Allah. Hingga kini aku terus yakin jika kita mencari kebaikan, insya-Allah, Allah akan memberikannya.
Terlebih dahulu ingin aku nyatakan bahawa dalam apa jua pergolakan dan ujian yang telah berlaku sepanjang kita berumah tangga, aku tetap menghormati mu. Walaupun ada masanya sikap dan kata-kataku terlanjur dan terkasar, itu bukanlah kerana aku sudah tidak  menghormatimu apatah lagi membencimu… tetapi semua itu kerana terlalu sayang. Aku tidak mahu kehilangan dirimu sebagai seorang suami.
. Aku sebagai seorang isteri dan kau sebagai seorang suami… Apakah kita telah melaksanakan amanah yang kita janjikan di hadapan Allah ketika kita mula bernikah dahulu?
Pernikahan disamakan dengan mendirikan masjid. Begitu sucinya ikatan perkahwinan dalam Islam. Ia bukan dibuat hanya kerana untuk melepaskan hawa nafsu semata-mata. Ia bukan sahaja perkongsian fizikal, tetapi perkongsian fikiran, perasaan dan jiwa untuk sama-sama berbakti kepada Allah. Rumah tangga hakikatnya adalah sebuah masjid… Di dalam masjid orang solat, berzikir, membaca Al Quran, mendengar tazkirah kuliah dan laian-lain ibadah.
Aku rindukan semua itu. Tetapi kerinduan itu tidak akan kesampaian tanpa bimbangan darimu. Aku lemah wahai suami ku. Pimpinlah aku untuk mendapat kasih sayang Allah melalui aliran kasih sayangmu. Engkaulah harapan aku. Aku hakikatnya telah diserahkan oleh Allah sebagai amanah kepada dirimu untuk disayangi di dunia dan di akhirat. Janganlah disia-siakan amanah ini. Kelak buruk padahnya kepada aku dan kepada mu jua. Relakah engkau melihat aku terkapa-kapa di dunia ini tanpa pimpinan? Dan di akhirat terhumban ke neraka yang penuh seksaan?
Suami ku,
Bila ku lihat langkah dan sikap mu sedikit terbabas, aku menjadi sangat cemas. Bila ku lihat kau seakan-akan berubah, aku menjadi sangat gelisah. Bukan kerana benci, tetapi kerana sayang. Mengapa tidak? Bukankah di tangan kamu kemudi rumah tangga ini.
Kesilapan dan kesalahan mu sangat buruk akibatnya kepada kita sekeluarga. Jadi, fahamilah hati isteri mu ini wahai suami ku… Curiga ku bukan kerana prasangka. Cemburu ku bukan kerana melulu. Jauh sekali untuk mengawal dan memperbudak-budakan. Tetapi sekadar ingin mengingatkan bahawa kebakaran yang memusnahkan selalunya berpunca hanya daripada percikan api!
Di antara kita adalah Allah. DIAlah zat yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Adil. Manusia tidak akan dapat mengawal dan memantau manusia lain setiap masa dan ketika. Kini aku pasrah kepada Allah. Aku lelah dan kalah untuk meneliti dan memeriksa di seluruh penjuru. Aku tidak dapat mengawal hati mu dan kau juga tidak dapat mengawal hatiku.Hati kta berdua, Allahlah yang menjadi pemantaunya. Allah Maha mengetahui. Mungkin apa yang kita dapat lebih berharga dan lebih baik berbanding apa yang kita terpaksa lepaskan walaupun terkdang kita menyesali atas apa yang kita dapat dan sesal kerana terpaksa melepaskan sesuatu..
Oleh itu jika kita ingin mendapat rumah tangga yang bahagia, kita terpaksa belajar ‘melepaskan’ perkara-perkara lain. Rumah tangga kita adalah keutamaan. Ia amanah Allah, harapan kita. Sebaliknya, segala kesukaan atau keseronokan kita yang lain mungkin terpaksa kita korbankan demi membina kebahagiaan ini.Inilah pengorbanan.
Suami ku,
Tipuan dunia dan godaan nafsu ini sangat memberangsangkan. Sekali kita terjerumus, payah untuk bebas kembali. Selagi yang diburu tidak tercapai, selagi itulah kita lelah mengejarnya. Tetapi setelah kita mendapat, ada yang lain pula datang menggoda. 
Aku mengingatkan diri ku dan diri mu kerana sayang. Aku selalu bertanya pada diri sendiri, relakah aku mengorbankan rumah tangga ini hanya untuk mengejar sesuatu yang tidak pasti? Aku terpaksa melepaskan salah satunya. Dan insya-Allah, buat selamanya aku lebih sanggup melepaskan apa dan sesiapa sahaja, asalkan jangan melepaskan kebahagiaan rumah tangga ku. Dan itulah yang telah aku lakukan. Aku telah melepaskan semua yang aku sayangi dan keluar dari 'zon selesa' untuk  bersamamu walaupun hampir setiap hari aku menitiskan air mata mengharapkan hatimu berpaut kembali padaku dan melupakan dia yang berjaya mencuri hatimu sehingga berjaya menyingkirkanku pada awal usia perkhawinan kita. Itulah yang ada di hatiku. Dan itulah jua yang aku harapkan, doakan ada dalam hati mu.
Jika dalam surat ini ada kesedihan… ia bukan kekecewaan tetapi itu hanya harapan. Jika dalam surat ini ada teguran… itu bukan kebencian tetapi itu hanya peringatan, buat ku dan buat mu jua. Namun, ku akui dalam surat ini terlalu banyak doa dan harapan. Doa ku hanya pada Ilahi. Dan harapan ku tetap untuk mu suami. 
Ku harap kau membaca surat ini dengan hati yang terbuka. Bayangkan semula harapan dan cita-cita kita seawal kita memutuskan untuk berkahwin dahulu. Saat indah itu telah berlalu tetapi keindahan itu akan menjelma semula dalam bentuk baru jika kita berusaha untuk merealisasikannya.
Dan sekalipun dalam perkahwinan yang paling bermasalah, penawar yang mujarab adalah kebenaran. Menyatakan kebenaran kepada pasangan adalah kaedah terbaik untuk membuktikan cinta adalah lebih utama daripada satu pendustaan!
Mohon berundur dulu. Pasangan yang bahagia bukanlah tidak pernah membuat kesilapan. Tetapi mereka tetap bahagia kerana mereka sentiasa belajar mengakui kesilapan itu dan belajar daripadanya… dan akhirnya melupakannya! Itulah aku kini. Ku akui kesilapan ku dan aku sedang memperbaikinya dan aku ingin melupakannya…
Suami ku, aku masih menaruh harapan. Insya-Allah, kau masih sudi membantu aku untuk itu! Amin.